Ahad, 18 Januari 2009

Projek Pra-Menjejak Liku Hanafi : Dari N. Sembilan ke Perak Perjalanan Hari Pertama Yang Penuh Mencabar (Part Akhir)

Mencari Kapitan Di Pulau Pinang.


Kita bersambung semula. Selepas mendapatkan semula kad memori bagi kamera Canon Power Shot A630 milik pejabat AKU, kami kembali menyambung perjalanan ke Kuala Kangsar. Nampak gayanya telah tertulis tiada rezeki buat kami menziarahi Makam Di Raja Kuala Kangsar. Tiada mengapalah. Program menziarahi makam-makam Sultan Perak zaman lampau hanyalah sampingan sahaja. Matlamat kami adalah makam-makam ulama di negeri Kedah Darul Aman.


Kami tiba di Kuala Kangsar pada jam 2115hrs. Kami ke Masjid Ubaidillah hanya untuk melihat dari luar sahaja. AKU dan Fendi mengadu lapar. Manakala sahabat-sahabat AKU yang lain bersorak gembira kerana mereka telah makan di gerai berhadapan Petronas Manong ketika AKU dan Fendi sedang tidur di dalam Avanza. Sorakan mereka bukan sekadar untuk mentertawakan kami yang lapar, tetapi lebih kepada mengenangkan peristiwa di antara mereka di kedai makan tadi. Kami tiada perasaan untuk makan di Kuala Kangsar. Lalu kami bergerak terus menuju susur masuk lebuhraya. Seperti yang di beritahu sebelum ini, Fendi bertindak sebagai pemandu dengan Wak membantu.


Kami mempunyai agenda yang lebih baik untuk memuaskan nafsu kami. Kami bercadang singgah di Pulau Pinang untuk pekena Nasi Kandar. AKU terus menghubungi ahli keluarga AKU untuk bertanyakan di mana pot yang baik punya. Ahli keluarga AKU berada di Pulau Pinang seminggu sebelum itu untuk menziarahi abang AKU dan besan mereka. Fendi juga menghubungi rakannya untuk mendapatkan maklumat.


Dalam perjalanan itu, atas permintaan AKU, kami singgah di R&R Gunung Semanggol. AKU nak mandi. AKU dah rasa berlegas dan tidak selesa. Lagipun, AKU hanya sekadar mandi cukup syarat saja ketika di Kampong Gajah. Air di masjid di situ kecil. Sahabat-sahabat AKU tak sanggup nak mandi sebab kesejukan. Cuaca hujan sejak petang tadi. Maka mereka membuat ‘aktiviti-aktivit’ normal ketika menunggu AKU. Hampir 45 minit kami di situ. Sebenarnya AKU mengambil masa dalam 15 minit sahaja untuk mandi manakala selebihnya AKU ke surau, meminjam soket 3-pin disitu untuk mengecas telefon bimbit. AKU perlu mengecasnya untuk menghantar laporan perjalanan yang sahaja AKU buat untuk Pak Halim, Bos dan Shafiq UiTM Shah Alam. Berbakul kutukan AKU kena kerana membuat mereka menunggu lama.


Kami meneruskan perjalanan sesudah itu. Tiada apa yang menarik. Perjalanan di lebuhraya apalah yang ada. Kami mengisi masa dengan bergelak ketawa dengan pengisahan semula peristiwa sepanjang hari tadi. Sesekali kami mengenakan antara satu sama lain. Yang paling teruk kena adalah Wak. Sepanjang perjalanan kami, Wak adalah bahan kami untuk di kenakan. Pengkisahan semula kami tidak lama kerana sedikit demi sedikit kami melelapkan mata membiarkan Fendi dan Wak.


Sedar-sedar sahaja pada jam 1215hrs, kami telah berada di atas jambatan Pulau Pinang. Oleh kerana Fendi yang membawa Avanza, maka kami mengikut maklumat yang diperolehinya untuk makan malam. Kami diberitahu bahawa sasaran kami adalah Nasi Kandar Kapitan. Namun, kami berpusing-pusing lebih satu jam di sekitar Komtar untuk mencari Kapitan akibat tiada petunjuk arah yang khusus dan tepat diberikan! Yang peliknya, kami berpusing-pusing dengan bergelak ketawa tanpa sebarang tekanan walaupun perut telah berdondang sayang. Sempat juga AKU kenakan Fendi dengan mengarahkan dia masuk di satu lorong, dan membelok kanan dua kali sehingga bertemu semula jalan yang awal tadi. Berdekah kami ketawa.


Setelah penat berketawa dan sudah tak larat lagi untuk berpusing-pusing maka keputusan kami adalah untuk singgah dimana-mana restoran Nasi Kandar yang kami jumpa. Sebaik sahaja memutuskan sebegitu, maka kami memasuki satu jalan yang kami rasa jalan tersebut mempunyai beberapa restoran nasi kandar hasil daripada jauh perjalanan, luas pandangan kami tadi Alangkah tercengangnya kami apabila melihata di hadapan kami adalah Restoran Kapitan yang kami cari selama sejam. Kami berdekah sekali lagi, sambil hati berbisik, memang ada rezeki kami untuk makan di situ. Sebagai membalas dendam, AKU memesan Nasi Beriani Kambing yang diikuti kemudiannya dengan Roti Nan Butter beserta ayam tandori dan tidak dilupai minuman rasmi, 2 cawan kopi ‘O’.


Pada jam 0230hrs, 31 Disember 2008, kami meninggalkan Restoran Kapitan Nasi Kandar untuk ke Kedah. Hanya beberapa kilometer bergerak, AKU telah melelapkan mata KU dan membiarkan Fendi dan Wak sekali lagi. Tempat yang dipersetujui untuk kami bertemu Basheeron (Ce On) adalah di Yan, Kedah.



***Maaf berbanyak-banyak maaf. Tiada gambar yang dapat dipaparkan dalam posting ini. Kesemua gambar-gambar dan rakaman video yang diambil ketika waktu di atas terpaksa dikorbankan oleh kami bagi memeberi ruang untuk gambar-gambar yang lebih utama bagi kami.***

Tiada ulasan:

Catat Ulasan