Selasa, 13 Januari 2009

Projek Pra-Menjejak Liku Hanafi : Dari N. Sembilan ke Perak Perjalanan Hari Pertama Yang Penuh Mencabar (Part 3)

Termenung di Pekan Manong


Izinkan AKU membuka bicara dengan 3 rangkap pantun

Dari Parit Ke Kuala Kangsar,
Singgah di Manong Mencuci Kereta,
Terbantut Sedikit Hajat Yang Besar,
Kamera Yang Hilang Meresahkan Kita.

Dari Negeri Sembilan Kami Berkelana,
Kereta Yang Kotor Di Cuci Belaka,
Kamera Pejabat Di Seludup Ke Sana,
Akibatnya Hilang Kerana Leka.

Orang Manong Berbudi Bahasa,
Membantu Mencari Hingga Ke Kuala,
Syukur Kita Kepada Yang Maha Kuasa,
Barang Yang Hilang Diperolehi Semula.


Itulah kisah utama bagi posting kali ini. Sesuatu yang sangat mendugakan bagi AKU dan juga melucukan.

Sebaik sahaja bertolak dari Kg. Pulau Besar, selain untuk mencari tempat bagi makan tengahari, kami bercadang untuk singgah di car wash untuk membasuh Avanza kami. Tapi sepanjang perjalanan tiada car wash yang boleh kami berhenti sambil menikmati makan tengahari. Maksudnya ada car wash yang bersebelahan dengan kedai makan. Seperti yang AKU katakan sebelum ini, amat kurang kedai makan di sepanjang laluan kami, apatah lagi untuk menaikkan nafsu makan kami.

Kami berhenti sebentar di Petronas Kg. Gajah untuk mengisi minyak dan membeli air serta makanan ringan. Kemudiannya kami terus menuju ke arah Parit. Sepanjang lalulan tersebut, tidak kurang daripada 7 buah papan tanda menyatakan arah makam sultan-sultan Perak zaman lampau yang terlihat oleh kami. Ingin saja AKU ingin mencabar diri masuk ke kampung-kampung itu, tapi menyedari bahawa kami telah lewat dan matlamat yang memberahikan kami adalah makam-makam ulama Kedah, maka AKU terus sahaja membawa Avanza terus ke Parit.
Kami tiba di Parit sekitar jam 1545hrs, dan kami masih lagi menghadapi masalah mencari kedai makan. Kedai makan di bangunan ala-ala Arked MARA yang kebanyakannya didapati tutup. Parit boleh di katakan seperti bandar kecil. Tidak mati dan tidak pula terlalu hidup. AKU menyuruh sahabat-sahabatKu merayau mencari kedai makan, sambil AKU mengalihkan Avanza untuk mendekatkannya dengan kedai makan yang akan kami singgah. Akhirnya ada sebuah kedai makan berhadapan dengan menara jam Pekan Parit. Apa yang ada, kami balun jelah. Itu namanya rezeki. Kita berselerakan sesuatu, tetapi dihidangkan yang lain. Ia masih lagi rezeki buat kita. Nak cerewet sangat, kita cerewet dengan rezeki yang diberi oleh Allah. Kami makan sambil merehatkan badan. Hal nak basuh kereta di tinggalkan dulu. Kalau-kalau ada selepas ini kami akan singgah



Mercu tanda pekan Parit, diambil dari meja makan kami. Gambar sewaktu kami makan adalah tidak sesuai ditayangkan di sini.



Kira-kira sejam di situ, kami menyambung kembali perjalanan kami. Sebaik Avanza bergerak dalam 500 meter, kami terjumpa sebuah car wash. Kami berhenti untuk basuh Avanza dahulu, tapi terpaksa membatalkan hajat kerana tidak mahu menghabiskan masa menunggu kerana car wash tersebut perlu mencuci 2 buah kenderaan sebelum kami. Maka kami meneruskan perjalanan menyeberang Sungai Perak, masuk ke arah Belanja, Manong sebelum dijangka tiba di Kula Kangsar. Laluan yang kami lalui ini kebanyakannya hutan belantara. Sesekali kami melihat kampung. Sesekali kami melihat rumah tradisional Perak yang tinggi. Dikatakan binaan sebegitu adalah mengelakkan rumah dinaiki air apabila berlakunya banjir. Maklumlah, rumah-rumah mereka di pinggir atau berdekatan Sungai Perak.

Ketika hampir sejam perjalanan, kami tiba di Manong dan terlihat akan kami sebuah Car Wash di Petronas Manong. Dengan senang hati, kami berhenti di situ dan menyerahkan Avanza untuk dicuci. Sengsara juga 2 orang brader tu mencuci comot Avanza. Rasanya mereka mengambil masa kira-kira 45 minit. Selepas dicuci, barulah terlihat oleh kami kesan-kesan calar-balar di badan Avanza yang diterima ketika di Kampong Gajah. Aduh, kami menggarukan kepala. Tapi, nasib baiklah Fendi masih lagi cool. Menyelami sahabatKU itu, tidak mustahil ada kegusaran di hatinya. Selepas siap di basuh, maka kami bergerak semula ke Kuala Kangsar yang ada berbaki 25km dengan senang hati. Ada rezeki kami untuk menziarah Masjid Ubaidillah dan Makam Di-Raja Kuala Kangsar. Kami tiba di Kuala Kangsar pada jam 1800hrs.

Tiba-tiba kami tersentak apabila Hafiz bersuara menyanyakan siapa yang memegang kamera. Abis satu Avanza diselongkar oleh kami. Dipastikan oleh sekalian kami bahawa kamera Canon Power Shot A630 itu dilihat kali terakhir oleh kami dibawa keluar Hafiz dari Avanza sebelum membasuh kereta di Petronas Manong. Sah, kamera tersebut tertinggal di car wash!! Argh!!!!! Tidak!!!!! Dengan tanpa berlengah masa, AKU berpatah balik ke Manong.

Kamera tersebut bukan milik AKU atau sesiapa pun dari kami! Kamera itu juga bukan milik ahli keluarga salah seorang dari kami dan kamera itu juga bukan milik kawan salah seorang dari kami. Kamera itu hak milik pejabat AKU!!! Kamera itu AKU seludup keluar dari opis bila kami menghadapi masalah untuk mendapatkan kamera. Kamera itu AKU ambil dari kawan pejabat AKU yang diamanahkan untuk memegangnya semenjak 2 minggu yang lepas. Kamera itu adalah untuk anggota di unit kami mengambil gambar-gambar keadaan di tapak. Sebelumnya ia tersimpan dalam laci AKU di opis. 3 jam sebelum bertolak ke Perak AKU ke opis untuk print panduan perjalanan kami dan ternampak kamera itu. Dari situ, tergerak di hati AKU untuk membawanya bersama ke Perak setelah mejangkakan ianya tidak digunakan pada minggu itu kerana ramai di antara anggota di unit kami bercuti pada hujung dan awal tahun.

AKU memecut deras Avanza. Sahabat-sahabat AKU meyakinkankan AKU bahawa car wash itu tutup jam 1900hrs. AKU berdiam sahaja sepanjang perjalanan kembali ke Manong. Nak marah tak boleh. Nak salahkan sesiapa pun tak boleh. Kamera itu AKU yang bawa. Maka wajiblah ianya di bawah tanggungjawab AKU. Risau beb! Buakan soal hendak mengganti baru kamera tersebut. AKU boleh membelinya. Tapi, AKU tak boleh menggantikan sticker syarikat yang tertampal di kamera itu! Berbagai butiran dari nombor siri, tarikh warranty, syarikat pembekal dan berbagai-bagai lagi yang sama sekali AKU tidak boleh menggantikannya. Pada AKU, kalau nak cover pun, mesti teliti. Kami berserah diri dan bertawakkal kepada Allah. Mudah-mudahan kami dapat kamera itu kembali.

Kami tiba di Petronas Manong tersebut pada jam 1830hrs. Car wash itu telah ditutup! AKU dah longlai. Izam terus mendapatkan pengusaha Petronas tersebut untuk memohon menghubungi tauke car wash tersebut. Tauke tersebut berjaya dihubungi dan Izam memohon bantuan brader tersebut untuk memulangkan kamera tersebut. AKU sempat mengingatkan Izam dan kami sekalian, supaya mengawal diri dan meminta dipulangkan kamera tersebut dengan cara yang baik, kerana kami berada di tempat orang. Dalam 5 minit selepas itu, brader itu sampai di Petronas dengan membawa kamera tersebut. Kami mengucapkan syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada brader itu. Namun dugaan bukan sekadar itu dan tidak terhenti di situ!

Sejurus mendapat semula kamera tersebut, kami kembali menaiki Avanza dan kembali bergerak ke Kuala Kangsar. Baru saja Avanza itu bergerak dalam 1km, AKU memberhentikan Avanza untuk singgah di Masjid Manong untuk membuang air. Belum saja AKU keluar dari Avanza, Fendi mempersoalkan kenapa kamera tersebut apabila ia di cuba untuk mengambil gambar, tertulis “No Memory Card”. AKU tersentak lalu mencubanya. Memang sah, gambar tidak boleh disimpan kerana dikatakan tiada kad memori. Bila sahaja AKU membuka compartment bateri dan kad memori, ternyata tiada kad memori di tempatnya!. Siapa pula yang mengambilnya?! Terbantut hajat AKU nak buang air kecil, terus memandu ke Petronos Manong semula dan memohon jasa baik penguasaha Petronas Manong sekali lagi untuk menghubungi tauke car wash tersebut. Brader tersebut tidak mengangkat panggilan kami setelah berkali di hubungi oleh pengusaha Petronas dan juga AKU. AKU redha. Kali ini bebannya kurang sikit. Sekadar menggantikan kad memori Sony berwarna biru yang tidak ada sticker syarikat. Tapi, adalah sesuatu yang sangat menghampakan bagi kami kerana segala kenangan kami sejak pagi tadi akan hilang bersama pembawa kad memori tersebut. Kenangan ber ‘camel throphy’ dan ‘mai secawan’ kopi radix di Kampong Gajah.

Dengan pertolongan Allah, pengusaha Petronas tergerak menghubungi rakan brader car wash tersebut dan Alhamdulillah, dia ada bersam rakannya ketika itu. AKU bercakap dengan brader itu memohon jasa baiknya, tetapi beliau menyatakan kamera itu diserahkan oleh anak buahnya kepadanya dan mengatakan anak buahnya tidak mengambil apa-apa pun dari kamera tersebut. AKU bercakap juga dengan anak buahnya. Brader yang membasuh Avanza kami. Mereka mengatakan juga perkara yang sama., iaitu tidak mengeluarkan apa-apa pun dari kamera tersebut. AKU mempersoalkan siapa pula yang mengeluarkan Memori kad tersebut? Dua orang brader yang membasuh Avanza kami itu menyatakan mahu berjumpa kami di Petronas. Kami bersedia menunggu untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Namun, adab di tempat orang perlu dijaga.

Dalam 5 minit, 2 orang brader itu sampai. Man dan Din. Keduanya sekali lagi menyatakan yang mereka tidak mengambil apa-apa pun. Maka di bukalah kisah oleh salah seorang dari mereka bahawa sebaik sahaja kami beredar, mereka di datangi oleh seorang kawan dan diberikan kamera kami dengan pesanan dia mahu menjual kamera itu dengan harga RM 150 dan meminta mereka mencarikan buyer. Mereka mengambil kamera tersebut, dan sebaik sahaja mereka menutup car wash mereka ke rumah tauke car wash tersebut. Sebaik tiba, tauke car wash itu bertanyakan ada tak mereka menjumpai kamera yang tertinggal oleh pelanggan, dan mereka menjawab, yang ada hanyalah sebiji kamera yang diberi oleh kawan mereka untuk dicarikan buyer. Kerana timbul keraguan, tauke car wash itu mengambilnya dan datang ke Petronas untuk merujuk kepada kami. Maka dari situlah kami menerima kembali kamera itu seperti yang AKU ceritakan tadi.

Berbalik kepada soal kad memori, mereka menambah bahawa kawan yang memberikan kamera tersebut hanya mereka kenal sekadar begitu. Tidak rapat dan merupakan budak Kuala(yang dimaksudkan oleh mereka sebagai Kuala Kangsar). AKU meminta jasa baik dari 2 orang brader tersebut untuk mengesan kawannya itu dan memujuknya memulangkan kad memori itu. Alhamdulillah, mereka terbuka hati untuk menolong dan meminta kami menunggu di car wash mereka. Setelah AKU sengaja membayarkan RM3 untuk minyak kapcai mereka isi, mereka bergerak ke Kuala Kangsar dalam keadaan hujan. Sebaik sahaja mereka beredar, sahabat-sahabat AKU mempertikaikan kenyataan 2 orang brader tersebut. AKU tak nak fikir yang bukan-bukan. AKU minta persetujuan dari sahabat-sahabatKU, sekiranya mereka kembali samada dengan kad memori itu atau tidak, kami akan memberikan saguhati RM 20 seorang yang diambil dari duit collection RM 150 seorang yang kami buat untuk perjalanan ini. Kami sebulat suara bersetuju. Kerana dah nak masuk maghrib dan tidak dapat menahan diri di gigit nyamuk, AKU masuk ke dalam Avanza untuk tidur. Maka tidurlah AKU sambil dapat menenangkan fikiran. Itulah tidur AKU yang sempurna sejak kami bertolak dari Seremban. Harap-harap kad itu akan diperolehi kembali. Kami tak nak hilang kenangan manis dan lucu pagi tadi.

Lebih kurang sejam lebih selepas itu, 2 orang brader itu kembali dengan membawa kad memori tersebut. AKU memberikan saguhati yang dipersetujui oleh kami tadi kepada mereka.

AKU menganggap ini pengajaran bagi AKU sebab membawa kamera itu tanpa izin. Selepas mendapatkannya kembali, kami bergerak semula ke Kuala Kangsar dari Petronas Manong untuk kali ke tiga. Kali ini Fendi yang menjadi supirnya kerana hari sudah malam, bermakna shift AKU untuk hari itu telah tamat. Kami bersyukur atas pertolongan Allah. Dengan Hikmat dan karomah ibu bapa, dan berkat guru, dugaan yang datang dipermudahkan. Berkat Langkah Bumi Bahagia dari guru. Alhamdu Lillah.

Sungguh Luhur Orang Manong,
Kad Yang Hilang Dapat Dikembalikan,
Sungguhpun Lama Kami Bertemenung,
Kenangan Yang Indah Dapat Dipulangkan.

Salam Segenggam, Salam Secekak!

1 ulasan:

  1. =)) lawak ah..
    aku x tau cmne leh tersesat kt blog ko ni..
    lain yg aku carik lain yg aku jmpe..=))
    tp bleh plak aku layan g bace entry ni..:))
    lps ni nk tgk le sape bdk yg kje car wash manong tu..=))

    BalasPadam